Isnin, 14 November 2011

0 12.0 Pengaplikasian Teknologi Komunikasi Oleh Belia Luar Bandar

Adakah teknologi komunikasi diaplikasikan oleh belia luar bandar ? ?



       Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah untuk memindah menyebar dan memapar maklumat. Perkembangan teknologi maklumat telah mencapai suatu tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu dalam kalangan masyarakat terutama masyarakat di luar bandar. Pada asalnya, teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk menyebarkan pelbagai jenis maklumat untutk tujuan yang berlainan termasuklah bagi tujuan periklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya.

Peranannya sebagai agen perubahan menjadi semakin penting dan berkembang dengan adanya revolusi teknologi komputer serta memberikan pelbagai implikasi yang ketara kepada kita terutamanya kepada masyarakat luar bandar. Penggunaan teknologi komunikasi ini dapat meningkatkan peluang pekerjaan, aktiviti guna tanah serta perubahan corak kehidupan luar bandar. Pada masa yang sama, kerajaan turut melancarkan Gerakan Desa Wawasan atau Gerakan Daya Wawasan (GDW) untuk menimbulkan kesedaran bagi melakukan perubahan paradigma, sikap, amalan dan aspirasi dalam kalangan masyarakat di desa. Hal ini adalah selari dengan matlamat transformasi kedua pembangunan luar bandar dan Wawasan 2020.

Selain itu, ‘Institut For Rural Adjustment’ (INFRA) pula diamanahkan oleh kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing penduduk luar bandar dengan menjalankan latihan dan mendedahkan mereka kepada program GDW. Melalui program ini, masyarakat desa  turut diharapkan dapat mencapai tujuh teras inisiatif pembangunan luar bandar iaitu: (i) pembangunan manusia yang cemerlang, (ii) pengukuhan institusi keluarga yang stabil dan sejahtera, (iii) pembangunan masyarakat yang beridentiti dan berdaya tahan, (iv) penyediaan infrastruktur yang berkualiti, (v) pembangunan ekonomi yang mampan, (vi) penyediaan sistem penyampaian yang berkesan, (vii) pengwujudan rangka kerja institusi yang responsif kepada perubahan.

Bagi membolehkan negara beralih ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, usaha gigih telah diambil oleh kerajaan bagi membina landasan yang kukuh untuk mencapai matlamat tersebut. Menjurus kepada matlamat ini, tumpuan diberikan kepada usaha menggalakkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemacu strategik bagi menyokong dan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup. Kemudahan internet yang ada ini dikatakan memudahkan mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ataupun belum bekerja mendapatkan maklumat pendidikan dan pekerjaan di samping menggunakan kemudahan tersebut untuk mengisi borang-borang permohonan dan pendaftaran menerusi talian (online).

Pelaburan yang besar telah dilakukan untuk menyediakan infrastruktur komunikasi bagi meningkatkan kebolehcapaian serta menambah baik institusi dan persekitaran kawal selia yang berkaitan. Penekanan yang lebih diberikan kepada usaha meningkatkan tahap penggunaan ICT dalam pelbagai sektor ekonomi, antara kawasan bandar dengan luar bandar serta dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Galakan inisietif e-pembelajaran dalam proses pendidikan formal turut diaplikasikan bagi melengkapkan masyarakat luar bandar, warga emas dan orang kurang upaya untuk meningkatkan penggunaan ICT dan memperbaiki taraf sosio ekonomi mereka.

Bagi memastikan setiap warga Malaysia berkongsi manfaat daripada ekonomi berasaskan pengetahuan, beberapa usaha mengurangkan jurang digital yang sedang dilaksanakan telah dipergiatkan lagi. Antara langkah yang diambil untuk merapatkan jurang ini terutamanya bagi komuniti luar bandar ialah penubuhan 217 telecentre di bawah program Tabung Perkhidmatan Pemberian Sejagat atau ‘Universal Service Provision’ (USP) dan program lain yang dibiayai oleh Kerajaan.

Kerajaan telah mengambil pelbagai inisietif untuk memperkenalkan penggunaan ICT kepada masyarakat miskin dan luar bandar. Dengan kewujudan Telecentre ini, ia bukan sahaja dapat membantu usahawan muda di kawasan luar bandar untuk menggunakan teknologi maklumat aplikasi Web 2.0 seperti email, facebook, blog-niaga dan seumpamanya untuk memantapkan lagi alternatif strategi pemasaran. Di samping itu, kerjasama bersama Pusat Komputer di desa turut dilakukan untuk meningkatkan lagi keberkesanan usaha untuk mengetengahkan usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa melalui aktiviti Minggu Usahawan Global (Global Entrepreneurship Week 2010).

Program-program ini mampu mempertingkatkan pendidikan komputer dan mengupayakan komuniti luar bandar melalui penekanan konsep e-komuniti terutamanya mendapat akses dan menggunakan maklumat bagi meningkatkan taraf sosial dan ekonomi mereka. Program yang khusus turut dilaksanakan bagi melengkapkan orang kurang upaya, warga emas, pengusaha perusahaan mikro, ibu tunggal, belia luar bandar dan golongan miskin di bandar dengan penggunaan perkhidmatan ICT.

Hal ini juga mampu meningkatkan pendapatan serta mewujudkan perniagaan telekerja atau ‘home office’ dalam kalangan masyarakat belia di luar bandar di mana perniagaan yang boleh dilakukan hanya dari rumah melalui sistem internet berangkai. Namun demikian, ia telah menyumbang kepada implikasi negatif kerana menyebabkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan atau lebih dikenali sebagai ‘kinship’ menjadi lebih renggang.
Dari sini kita dapat melihat bahawa penggunaan teknologi komunikasi ini telah memberi impak yang lebih ketara pada aspek fizikal berbanding aspek sosioekonomi dan sosiobudaya. Di samping itu, perkembangan ini turut menyebabkan tanah di pinggir bandar semakin berkurangan untuk dibangunkan sebagai tempat kediaman. Malah ia telah menyebabkan peningkatan kesesakan lalu lintas serta pencemaran alam sekitar yang serius.

Berdasarkan statistik terbaru penembusan jalur lebar isi rumah sehingga 9 Jun 2010 mencapai sehingga 37% berbanding pada penghujung tahun 2009 hanya 31.7%. di samping itu, penggunaan selular di kalangan 100 isi rumah juga meningkat kepada 106.1% pada tahun 2009 kepada 108% pada suku pertama 2010. Selain itu, kadar pemilikan komputer bagi isi rumah juga telah mencapai 3.2 juta pada awal tahun 2010. “Walaupun angka-angka tersebut kian meningkat, tidak dinafikan bahawa masih wujud perbezaan dari segi pencapaian kemudahan ICT yang agak ketara di negara ini di antara masyarakat di bandar dan di luar bandar,” ulas En. Hussin Bin Ali, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kawasan Wilayah Utara.

Pada kesimpulannya, walaupun perkembangan teknologi mendatangkan pelbagai isu-isu atau masalah yang tidak dapat dielakkan semasa perkembangannya tetapi kita harus bergantung kepadanya untuk mengubah taraf kehidupan dan ekonomi masyarakat secara keseluruhannya. Justeru itu, kita tetap harus memberi penumpuan kepada perkembangannya walaupun secara statistik semakin meningkat terutamanya kepada masyarakat di luar bandar supaya revolusi teknologi ini dapat mengubah paradigma pemikiran mereka.


RUJUKAN:
1.     Ho Lip Wah. Pengaruh Teknologi Maklumat Ke Atas Kehidupan Di Bandar. F:\YKT 214 Asgmn\Pengaruh Teknologi Maklumat Ke Atas Kehidupan Di Bandar_files\Pengaruh Teknologi Maklumat Ke Atas Kehidupan Di Bandar.htm. Dirujuk dari Internet pada 1 November 2011.
2.     Impak Positif dan Negatif  Suburbanization. http://dranuarjb.blogspot.com/2011/09/118-kajian-kajian-impak-rebakan-bandar.html. Dirujuk dari Internet pada 1 November 2011.

3.     Kementerian Pelajaran Malaysia. (2006). “Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010”. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Hakcipta Terpelihara Kementerian Pelajaran Malaysia. (Putrajaya) Malaysia.
4.     Kementerian Pelajaran Malaysia. (2006). Bab 5 Mengarusperdanakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010. Dirujuk dari Internet pada 1 November 2011.
5.     Makmalek Mohamad. (2010). “Aspirasi Digital dalam Akses ICT untuk Semua”. Dalam “Bajet 2010 Menjana Masyarakat ICT”. Majalah Dwibulanan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Edisi 22 untuk Jan dan Feb 2010. www.aspirasidigital.net.my. 
6.     Mohd Koharuddin Mohd Balwi. (Jun 2006). Jurnal Teknologi Universiti Teknologi Malaysia. Dalam Pembangunan Luar Bandar Di Malaysia: Gerakan Desa Wawasan (GDW) Sebagai Mekanisme Pembangunan Masyarakat Luar Bandar. Dirujuk dari Internet pada 1 November 2011.




0 comments:

Catat Ulasan